Ciri – ciri manhaj tarbiyah
Islamiyah di bawah adalah menjadi petanda yang membezakan dan menjarakkannya
daripada seluruh falsafah dan ideologi tarbiyah selainnya yang bersifat aqliyah
semata – mata;
1- Manhaj yang bersumberkan
Islam. Ia mestilah daripada wahyu al Quran dan al Hadis. Sekiranya diambil
daripada selainnya, maka hendaklah selari dengan kedua – duanya dan diterima
akal ke arah maslahat dan kepentingan manusia.
2- Manhaj yang praktikal. Ia
bukan sekadar teori dan retorika semata – mata bahkan menjadi satu manhaj yang
membina manusia beragama di dalam diri, keluarga, jamaah dan masyarakat secara
praktikal dan hidup.
3- Manhaj yang menyeluruh. Ia
meliputi segala asas dan tunjang kehidupan, kemudian menjalar kepada segala
aktiviti kehidupan. Justeru ia pasti hadir dan menyumbang khidmat kepada setiap
aspek kehidupan manusia.
4- Manhaj yang waqi’ie dan
realiti. Ia mengambil kira dan mengiktiraf keupayaan manusia di dalam
perlaksanaan manhajnya. Ia tunduk kepada asas wahyu bahawa tiada taklif yang di
luar keupayaan manusia. Justeru ia begitu anjal dan aktif di dalam menerima
perubahan semasa selagi ia kekal dalam asas dan nilai ugama dan tidak
memudaratkan manusia.
5- Manhaj yang saling melengkapi.
Ia saling mengikat dan memerlukan. Ia menolak pemisahan di antara juzuk –
juzuknya, lalu ia menjadi cacat dan runtuh. Ini kerana binaannya bermula
daripada asas – asas yang satu sumbernya. Memisahkannya bererti mencabutnya
daripada sumber kekuatannya. Justeru ketika ia membina ruh dan akal, seseorang
muslim itu akan cacat tanpa pembinaan jasmani dan akhlak kemasyarakatannya
secara serentak.
6- Manhaj yang seimbang. Kekuatan
antara juzuknya adalah sama dan selaras dengan tuntutan fitrahnya. Maka ia
tidak boleh menjurus kepada pembinaan satu juzuk sehingga meminggirkan juzuk
yang lain. Hilang keseimbangan di dalam perlaksanaan manhaj ini akan
menyebabkan juzuk yang terbina menyerang dan meruntuhkan juzuk yang terabai.
Itulah yang dapat dilihat secara nyata di dalam sistem tarbiyah yang selain
daripada Islam.
7- Manhaj yang berperingkat. Ia
terlaksana melalui peringkat – peringkat yang mesti diikuti, tidak boleh
dialpakan dan tidak boleh diloncati. Ia tunduk kepada binaan fitrah manusia,
anjal dan bertindak balas kepada keperluannya dan meraikan keutamaan tertibnya.
Justeru sebagai contonya, ia melalui proses tamhid, takrif, takwin, tanfiz dan
tamkin sebagaimana diwujudkan dalam manhaj tarbiyah al Ikhwanil Muslmin.
8- Manhaj yang sejagat. Ia adalah
manhaj tarbiyah yang sesuai dalam semua keadaan, masa dan tempat. Apa yang
dilaksanakan di bumi Arab mungkin saja dilaksanakan dengan jayanya di tempat
lain. Ini kerana sumbernya adalah Islam yang di antara ciri agungnya adalah
sifat kesejagatannya. Pengambilan sumber selain Islam adalah penyebab kepada
kegagalan seluruh sistem tarbiyah yang lain.
9- Manhaj yang ilmiah. Ia tunduk
kepada jalan akal di dalam pengajarannya di dalam semua hal.. Ia yang
bersumberkan wahyu adalah seiringan dengan ilmu dan akal. Ia tidak mungkin bertentangan
kerana wahyu menunjuki akal dan meneranginya. Ia tidak meminggirkan peranan
akal bahkan memuliakannya dengancara mengajak manusia menggunakan akal.
10- Manhaj yang positif dan
reaktif. Ia menerima taat kepada Allah, cintakan kebaikan dan kesejahteraan
serta kesediaan menggempur kejahatan. Ia menolak unsur - unsur negatif daripada
merosakkan minda manusia seperti kepercayaan kepada khurafat yang meminggirkan
akal. Ia menolak penyembahan sesama manusia dan nafsu syahwat selain menolak
taqlid buta di dalam masyarakat yang merencatkan kerancakan akal manusia.
ConversionConversion EmoticonEmoticon